Total Pageviews

Wednesday, 23 November 2011

SALAM MAAL HJIRAH 1433H

Hanya tinggal beberapa hari lagi untuk kita meninggalkan tahun 1432 H dan kita akan memasuki tahun baru 1433H. Moga kita akan memperolehi lebih rahmat dari Allah Maha Pencipta dan menjadi insan yang terbaik.
 Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam:

1. Puasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun. Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3 kali
4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3 kali
Perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram) serta fadhilatnya:
1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
3. Bersabar/Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya pada neraka jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti . Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
9. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000 kali. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
10. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali.
11.Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
12. Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya pada neraka.

Bertanya para sahabat : "Wahai Rasulullah ! Apakah kelebihan 10 Muharram berbanding dengan hari-hari yang lain ?" Sabdanya :
  • ALLAH menciptakan langit, bintang dan sebagainya pada 10 Muharram
  • ALLAH menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram
  • Diciptakan lautan pada 10 Muharram
  • Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram
  • Diciptakan papan tulis (Luh Mahfuz) pada 10 Muharram
  • Diciptakan Adam a.s. pada 10 Muharram
  • Dimasukkan Adam a.s. ke dalam syurga pada 10 Muharram
  • Dilahirkan Ibrahim a.s. pada 10 Muharram
  • Diselamatkan Ibrahim a.s. dari api Namrud pada 10 Muharram
  • Diselamatkan anaknya Ismail a.s. dari sembelihan pada 10 Muharram
  • Ditenggelamkan Fir'aun pada 10 Muharram
  • Diampunkan dosa Daud a.s. pada 10 Muharram
  • Dilahirkan Isa a.s. pada 10 Muharram
  • Dikeluarkan Idris a.s. daripada perut ikan Nun pada 10 Muharram
  • Disembuhkan penyakit Ayub a.s. pada 10 Muharram
  • Diangkat Isa a.s. ke langit pada 10 Muharram
  • Diterima taubat Adam a.s. pada 10 Muharram
  • Dianugerahkan tahta kerajaan kepada Sulaiman a.s. pada 10 Muharram
  • Diciptakan Arasy pada 10 Muharram
  • Awal-awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram
  • Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharram
  • Diselamatkan bahtera Nuh a.s. daripada tenggelam pada 10 Muharram

Saturday, 27 August 2011

SELAMAT TINGGAL RAMADHAN 1432 H/2011

Salam Akhir Ramadhan...

Hanya tinggal tiga hari saja lagi Ramadan akan meninggalkan kita dan kita akan bertemu dengan bulan Syawal. Ketibaan Syawal pasti amat dinantikan bagi meraikan Aidilfitri, satu bulan kemenangan selepas sebulan berpuasa di Ramadan.

Adakah kita berkesempatan untuk bertemu Ramadan 1433H nanti. Moga Allah panjang umur kita untuk membolehkan kita bertemu sekali lagi  bulan yang penuh barakah ini. Mudah-mudahan Allah menerima segala amalan yang dilakukan pada Ramadan tahun ini.

Dan semoga  kem ibadah yang kita perolehi pada bulan Ramadan ini dapat diteruskan pada bulan Syawal dan seterusnya bagi memimpin kita menjadi mukmin yang terbaik..InsyaAllah.






takbir raya

Wednesday, 24 August 2011

KEPALA MANUSIA DI JUAL DI THAILAND

Salam...


Mungkin anda semua terkejut dengan tajuk di atas iaitu kepala manusia di jual di Thailand. Ia benar berlaku di negara jiran kita cuma kepala itu sebenar adalah roti yang dihasilkan oleh seorang seniman untuk dijual kepada sesiapa yang berminat.


 Agaknya, kalau di negara kita, adakah sesiapa yang berani untuk membeli roti berkenaan. kalau dimakan bersama kari ikan, bagaimana agaknya rasanya @ sebelum makan lagi yang ada dalam perut kita terus keluar. saya yang menulis ni pun dah mula rasa tak selesa.


Apapun, inilah yang dikatakan seni dan pelbagai cara dilakukan untuk menarik perhatian orang ramai.


Tuesday, 23 August 2011

OTAK KITA SENTIASA SUJUD

Adakah kita sedari bahawa otak kita seperti orang yang sedang sujud?
 

“Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang yakin.Dan juga pada dirimu sendiri, maka apakah kamu tidak memperhatikan?” (Adz Dzariyat: 20-21)
Maha Suci Allah!
Mari kita perhatikan satu hikmah lagi, iaitu hikmah sujud yang mempunyai hubungkait dengan kejadian otak.
Prefrontal Cortex (seperti dalam gambar di atas) adalah “decision maker” bagi manusia untuk merancang, berfikir dengan waras, rasional, kreativiti, merancang masa depan, berfikiran kritis dan banyak lagi sifat yang membezakan antara manusia dan haiwan.
 
Apabila kita sujud, yakni di dalam solat, jantung akan menjadi lebih tinggi daripada otak, maka darah akan turun ke bahagian ini. Ini akan menyebabkan keseluruhan bahagian prefrontal cortex ini akan diperbaiki dan menjadi lebih baik. Hasilnya, mukmin boleh membuat keputusan yang lebih bijak, boleh berfikir mana yang baik dan buruk, dan boleh mencegah daripada melakukan kemungkaran. Terbuktilah ayat al Quran yang menerangkan bahawa solat itu dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar (al Ankabut: 45).
 
Kenapa solat dan sujud dapat menenangkan hati ketika sedang stress?
 
Ketika stress, hormon adrenalin akan dirembeskan. Maka kadar pengaliran darah ke prefrontal cortex akan berkurangan kerana apabila berada dalam keadaan sebegini, dari segi fisiologinya, manusia akan bertindak pantas tanpa berfikir (flight or fight).
 
Jadi, bagi merawat stress ini, kita mestilah selalu sujud kepada Allah. Dengan sujud, kita dapat membuka lebih ruang kapilari darah untuk ke prefrontal area ini.
“…dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan).” (al Alaq: 19)
“Ketahuilah, sungguh jika dia tidak berhenti (berbuat demikian) nescaya Kami tarik ubun-ubunnya, (iaitu) ubun-ubun orang yang mendustakan lagi derhaka.” (Al Qur’an, 96:15-16)
Ungkapan “ubun-ubun orang yang mendustakan lagi derhaka” dalam ayat di atas sungguh menarik. Penelitian yang dilakukan di tahun-tahun kebelakangan ini mengungkapkan bahawa bahagian prefrontal, yang bertugas mengatur fungsi-fungsi khusus otak terletak pada bahagian depan tulang tengkorak. Para ilmuwan hanya mampu menemui fungsi bahagian ini setelah kurun 60 tahun terakhir, sedangkan Al Qur’an telah menyebutkannya 1400 tahun lalu.
 
Jika kita lihat bahagian dalam tulang tengkorak, di bahagian hadapan kepala terdapat kawasan frontal cerebrum (otak besar). Buku berjudul Essentials of Anatomy and Physiology, yang menyatakan penemuan-penemuan terakhir hasil penelitian tentang fungsi bahagian ini, menyatakan:
Dorongan dan hasrat untuk merencanakan dan memulai gerakan terjadi di bahagian depan lobi frontal, dan bahagian prefrontal. Ini adalah kawasan korteks asosiasi…
(Seeley, Rod R.; Trent D. Stephens; and Philip Tate, 1996, Essentials of Anatomy & Physiology, 2. edition, St. Louis, Mosby-Year Book Inc., s. 211; Noback, Charles R.; N. L. Strominger; and R. J. Demarest, 1991, The Human Nervous System, Introduction and Review, 4. edition, Philadelphia, Lea & Febiger , s. 410-411)
Buku tersebut juga mengatakan:
Berkaitan dengan keterlibatannya dalam membangkitkan dorongan, kawasan prefrontal juga diyakini sebagai pusat fungsi bagi perilaku menyerang…
(Seeley, Rod R.; Trent D. Stephens; and Philip Tate, 1996, Essentials of Anatomy & Physiology, 2. edition, St. Louis, Mosby-Year Book Inc., s. 211)
Jadi, kawasan cerebrum ini juga bertugas merencana, memberi dorongan, dan memulai perilaku baik dan buruk, dan bertanggungjawab atas perkataan benar dan dusta.
Jelas bahawa ungkapan “ubun-ubun orang yang mendustakan lagi derhaka” benar-benar merujuk pada penjelasan di atas. Fakta yang hanya dapat diketahui para ilmuwan selama 60 tahun terakhir ini, telah dinyatakan Allah dalam Al Qur’an sejak dahulu.
Rujukan :
http://azansubuhkhamis.blogspot.com/2010/10/otak-seperti-orang-yang-sedang-sujud.htm

PENERBANGAN TERAKHIR

 SALAM RAMADAN...

http://img131.imageshack.us/img131/4917/tripzp4.jpg

Maklumat Peribadi

Nama: Manusia.      Bangsa: Tanah.   Alamat : Bumi.

Maklumat Penerbangan

Terminal Berangkat : Bumi
Destinasi :  Akhirat ( Tarnsit dalam Kubur ).
Masa Penerbangan : Tidak ada siapa yang dapat menentukan.
Masa Berangkat : Apabila Sakartul Maut menjemput.

Keperluan Yang Dibenarkan Bawa Bersama

2 meter kain putih dan amal soleh serta amal kejahatan.

Keperluan Yang Boleh Digunakan Setelah Sampai Destinasi

1-Sedekah Jariah.
2- Doa dari anak yang soleh.
3- Ilmu yang memberi manfaat.
4- Amal kebajikan yang dikerjakan oleh orang lain yang diajarinya.

Penerbangan Ini Amat Menakutkan Buat Mereka Yang Tidak Mematuhi Arahan Dibawah

1- Mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhi larangan Allah SWT yang bersumberkan Al-Quran dan Al-Hadis.
2- Memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT.
3- Berbakti kepada ibu bapa  dan berhubung Silatul Rahim.
4- Berlumba-lumba mengerjakan ibadat-ibadat puasa, bebajikan dan amalan sunat.
5- Makan dan minum dari sumber yang halal.
6-  Tidak panjang angan-angan.

Kepada mereka yang sudi dan tidak sudi meneruskan penerbangan ini, semuanya mesti membuat persediaan.

Untuk keterangan lanjut sila berhubung dengan Al-Quran Al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW serta  Ilmu Allah SWT.

Talian untuk tempahan anda adalah percuma di seluruh dunia.

 

sumber :http://peribadirasulullah.wordpress.com






Thursday, 18 August 2011

KENANGAN @UMRAH APRIL 2011

Bersama Haji Sopian di perkarangan Masjid Nabawi
Diari  @ Kota Madinah.

Aku  bersama Haji Sopian di perkarangan Masjid Nabawi, Madinah. Haji Sofian dari Tanah Merah Kelantan adalah roomate aku dari Madinah sehingga ke Mekah. Ke mana sahaja aku akan bersamanya. Mungkin  Allah ketemukan aku untuk menjaga Haji Sofian yang berusia 80-an. Dia seorang guru agama dan mampu khatam Al-Quran selama 3 hari sahaja. Dia datang bersama isterinya selepas seorang hamba Allah menaja umrahnya.

di dalam Masjid Nabawi
Ramai jemaah lain sangka aku anaknya kerana  setiap kali ke masjid, dewan makan  dan ziarah aku sentiasa bersamanya.  Kota Madinah begitu damai dan Masjid Nabawi begitu indah sekali. Di sinilah terletak makam Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Syukur kerana dapat ziarah makam Baginda. Setiap kali ziarah, air mata keluar tanpa ku sedari.
 
 NABI SAW PERNAH BERSABDA YANG BERMAKSUD, 

“DI ANTARA RUMAHKU DAN MIMBARKU ADA TAMAN RAUDHAH DAN TAMAN-TAMAN DARIPADA SYURGA.”

Aku berkesempatan untuk sembahyang solat sunat dua rakaat  di kawasan Taman Raudah tetapi keadaan agak sesak kerana jemaah berebut-rebut untuk sembahyang di kawasan Raudah.

Hanya karpet yang berwarna hijau sahajalah dikatakan Raudhah, manakala selain daripada itu merupakan kawasan iktikaf Masjid Nabawi.

hadis Nabi tentang Raudah

Makam Rasullullah SAW

Mimbar Rasullullah SAW
  Kelebihan orang yang dapat berdoa dan solat sunat 2 rakaat di dalam Taman Raudhah di Masjid Nabawi amatlah besar, dan sesetengah ulama’ mengatakan ianya antara tempat dimakbulkan doa seseorang.


Cukup sedih untuk meninggalkan kota Madinah ketika melakukan ziarah selamat tinggal di makam Kekasih Allah. Terasa rindu yang teramat sangat ketika melangkah keluar Masjid Nabawi untuk ke Tanah Suci Mekah.


(bersambung....)

INGATKAN DICULIK, RUPANYA MENCULIK DIRI SENDIRI

Salam ramadan...

hari ini dah masuk hari ke 18 umat Islam berpuasa dan semalam kita menyambut Nuzul Quran.

Sebagai seorang ayah, aku memang terkejut membaca akhbar Kosmo hari ini apabila seorang anak perempuan yang menghilangkan diri sejak seminggu lalu sanggup menipu dan bersekongkol dengan teman lelakinya mendakwa dirinya diculik dan meminta wang tepusan sebanyak RM50,000  daripada keluarga.

Penantian selama seminggu  pasangan Azizan Hassan dan Shahrizad yang begitu gelisah dengan kehilangan anaknya perempuan itu akhirnya terjawab apabila anaknya, Ameerah Asha ditemui bersama kekasihnya oleh polis di Puchong, semalam.

Sama ada dia dipaksa oleh teman lelakinya, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku di saat kedua ibu bapa begitu gelisah menanti kepulangannya anak perempuan itu.

Kepada anak-anak, jangan mengambil jalan mudah dalam membuat sebarang keputusan atau mudah terpengaruh dengan pujukan teman serta kawan-kawan untuk membuat sebarang tindakan.

Moga pasangan Azizan dan Shahrizad bersabar dengan ujian dari Allah dan kejadian yang berlaku pasti ada hikmahnya.






Wednesday, 17 August 2011

MARLON SEDIA BERKHIDMAT UNTUK KENARI

 Ruangan sukan Harian Metro hari ini melaporkan awang import, Marlon Alex James bakal kembali ke Kedah untuk menjalani ujian pemilihan pada pertengahan Oktober ini bersama beberapa pemain lain untuk kuota dua pemain import bagi musim 2012.

Aku sendiri merasa teruja apabila membaca berita ini. Aku percaya peminat Hijau Kuning yang lain juga akan menjadikan topik ini sebagai bahan utama untuk bercerita.

Tahniah kepada pengurus pasukan Kedah, Datuk Khazali Din dan Ketua jurulatih, Wan Jamak yang mengambil tindakan cepat untuk memanggil Marlon untuk menjalani ujian pemilihan bagi mengisi satu slot bahagian penyerang yang pada musim ini agak pincang dengan kecederaan beberapa pemain utama.

Langkah ini juga pasti mengejutkan pasukan lain yang turut berusaha untuk mendapatkan dua pemain terbaik selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia  (FAM) membenarkan pemain import beraksi dalam Liga Super musim 2012 nanti.

Aku harap semua pengurusan pasukan bola sepak negeri  dapat memilih pemain import yang benar-benar berkualti bagi memperkuatkan barisan masing-masing.Dan bagi yang kantung kewangan tidak kukuh, usahlah mencari pemain yang biasa sahaja atau lebih baik tidak menggunakan pemain import.

Sunday, 14 August 2011

Pesta @ramadan di sana sini

Hari ini dah masuk hari ke 14 kita berpuasa. Masa begitu pantas berlalu. Ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, aku nampak pelbagai promosi yang dilakukan oleh pelbagai pihak yang ingin bersama meraikan Aidilfitri.

Kedai Perabot, Kedai Kasut, Pasaraya dan Kedai Aksesori Kereta, semuanya tidak terlepas mengadakan promosi untuk menarik minta pengguna untuk mendapatkan barangan yang dijual.

Tiang-tiang lampu sepanjang jalan dipenuhi dengan banting yang mempromosikan pelbagai barangan. Yang Paling menarik ialah promosi tukar tilam lama dengan tilam baru. Mungkin ada orang yang beli tilam baru untuk menyambut aidilfitri nanti.

Apa yang diharapkan ialah semua umat Islam yang bakal merayakan Aidilfitri nanti dapat berbelanja secara berhemah dan jangan mengikut nafsu membeli sempena pesta @ramadan yang sedang berlangsung sekarang ini.

Tuesday, 19 July 2011

BELAJAR BERSYUKUR

AKHBAR hari ini memberi fokus kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Trengganu yang menolak rayuan seorang pemuda Islam untuk menukar jantina  kepada wanita.


Pemuda berkenaan yang sudah membuat pembedahan tukar jantina di Thailand beberapa tahun lalu memohon mahkamah memberi kebenaran untuk pertukaran nama wanita di Mykad dan surat pendaftaran kelahiran.


Syukur kerana keputusan yang dibuat tidak menyebelahi kepada Mohd Asraf Hafiz Abdul Aziz, 26, dari Kampung Telaga Daeng, Seberang Takir sebelum itu memohon untuk menukar jantina dengan nama Aleesha Farhana Abdul Aziz.


Keputusan penting menamatkan kebimbingan orang ramai yang agak terkejut dengan keputusan pemuda itu untuk menukar jantina dengan alasan tidak memiliki sifat lelaki sejak kecil selain memudahkannya untuk memasuki pusat pengajian tinggi sebagai seorang wanita.

Pemuda itu patut bersyukur dengan anugerah yang Allah berikan kepadanya dan tidak sepatutnya mengubah apa-apa yang cipta termasuk menukar jantina.

Semua pihak harus berusaha untuk memberi sokongan kepada pemuda berkenaan agar dia menerima dirinya dan kembali ke jalan yang benar.

Semoga kes terjadi itu akan memberi iktibar kepada semua pihak termasuk ibu bapa dalam usaha membentuk peribadi anak-anak dengan ilmu agama dan nilai jati diri peribadi muslim.

Monday, 18 July 2011

KISAH PEDAL AYAM & MANGGA KUNCI

Semasa makan tengahari tadi, aku ternampak masakan pedal ayam yang dihidangkan. terus aku teringat kisah yang berlaku kepada diriku sendiri semasa zaman remaja apabila abahku menyuruhku membeli pedal ayam (orang Kedah turut panggil  pedai ayam untuk mangga kunci).

"Wan, hang pi beli pedai ayam,". Ketika tu aku baru bangun tidur dan secara kebetulan nak ke pekan Alor Setar untuk membeli barang. Aku ingat abah suruh beli pedai ayam (mangga kunci). Jadi dengan confidentnya aku terus membeli mangga kunci di kedai hardware.

Bila balik, aku terus bagi dekat abahku mangga kunci yang aku beli. Tiba-tiba abahku terus serius dan memandang tepat pada mataku. "Yang hang beli pedai ayam ni buat apa, abah suruh beli pedai ayam untuk makan, yang ni nak makan macam mana,". Suasana yang serius tadi bertukar ceria apabila emak dan adik beradikku mula datang ke ruang tamu rumah untuk mengetahui cerita sebenar.

Sehingga hari ini, jika kami sekeluarga berkumpul di rumah abahku dan kalau secara kebetulan ada masakan pedal ayam, maka ceritaku pasti menjadi bahan ketawa mereka.

Setiap kali hendak makan pedal ayam atau mangga kunci aku juga pasti senyum sendiri apabila mengenang kisah pedal ayam dan mangga ini.

Sunday, 17 July 2011

PLASTIK HITAM @RAMADAN

Assalamualakum...

Aku bersama penduduk setempat meraikan malam Nisfu Syaaban dengan membaca   Surah Yasin sebanyak tiga kali  yang menjadi amalan sejak zaman berzaman  sehingga sekarang walaupun ia tiada sandaran dari Al Quran dan  hadis Rasulullah SAW.

Tidak salah kita membaca Surah Yasin pada malam berkenaan tetapi yang menjadi kesalahan ialah apabila kita menganggap bacaan Yasin itu WAJIb dan MESTI  di baca setiap kali menyambut Nisfu Syaaban.

Antara petikan hadis :

Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” [Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain].

Ustaz Rahman yang membuat takzirah turut menyentuh mengenai kehadiran dan fazilat Ramadhan Al Mubarak. Sudah pastinya bulan yang ditunggu oleh umat Islam seluruh dunia untuk beribadat di sepanjang bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat dari Allah swt.
Namun kehadiran Ramadan kurang diberi perhatian oleh sebilangan kecil umat Islam yang pada waktu siang nya akan membawa PLASTIK HITAM simbolik kepada mereka yang tidak berpuasa.

Apabila tiba bulan Ramadan, akan muncullah gerai-gerai makan yang akan membekalkan PALSTIK HITAM kepada umat Islam dewasa yang enggan melaksanakan  hukum Allah.

Walaupun terdapat larangan dari pihak berkuasa yang tidak membenarkan sebarang jualan makanan sebelum jam 3.00  petang, namun atas alasan ingin mencari rezeki, pemilik gerai akan bersekongkol dengan umat Islam untuk membekalkan makanan yang dibungkus dengan PLASTIK HITAM.

Aku harap tahun ini,  tiada lagi gerai yang menjual makanan secara terbuka kepada orang ramai yang tidak berpuasa. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit agar kesucian bulan Ramadan tidak dinodai dengan perbuatan yang tidak bertanggung jawab itu.

Moga tiada lagi PLASTIK HITAM pada Ramadan tahun ini. InsyaAllah....











AKU MENULIS

Selepas hanya menjadi pemerhati kepada blogger lain yang banyak menggunakan medium ini untuk menulis, kini aku memberanikan diri untuk menggunakan medium terbaru ini untuk berbicara mengenai apa sahaja isu yang terlintas di fikiran.
Sekadar berkongsi untuk menajamkan pemikiran dan coretan untuk meluahkan perasaan.